Artikel & Berita

20 Januari 2018, Kelana Jaya – Seramai 40 orang peserta daripada pelajar-pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), kakitangan Technology Depository Agency (TDA), kakitangan Jabatan Pengajian Politeknik (JPP), kakitangan Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah berjaya menerima sijil masing-masing sempena Majlis Penyampaian Sijil Tamat Latihan bagi pelaksanaan Kursus Penyenggaraan Rel bertempat di Dewan SunInns Hotel, Kelana Jaya pada 20 Januari 2018 yang lalu.

Jemputan kehormat yang turut hadir memeriahkan majlis ini adalah Yang Berbahagia Dato’ Sri Eric Kuan Khian Leng selaku Pengarah Eksekutif Kumpulan; Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB), Yang Berbahagia Mejar Abd Rahman selaku Pengurus Besar Pengurusan Projek; Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Yang Berbahagia En. Azman Bin Omar; wakil dari Technology Depository Agency (TDA) dan Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Shahruddin Bin Mahzan@Mohd Zin selaku Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM. Selain itu, tetamu yang turut hadir di majlis ini adalah tenaga pengajar dari kalangan pensyarah FKMP UTHM dan KTMB serta urusetia kursus dari UTHM Holdings Sdn. Bhd.

Kursus ini telah berlangsung dengan jayanya bermula 5 Ogos 2017 dan berakhir pada 20 Januari 2018. Kursus ini telah dilaksanakan secara teori bertempat di Kelana Jaya dan amali di Kuala Lipis. Objektif kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pengurusan penyenggaraan landasan keretapi melalui Program Kolaborasi Industri (ICP) usahasama Fajarbaru Builder Sdn. Bhd. (FBSB) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (KPM).